Powered by Blogger.

Tuesday, April 10, 2012

Rawatan Mandul Lelaki


Ramai lelaki mandul tidak tahu yang mereka mandul. Disebabkan ego atau sememangnya tidak mahu ambil tahu, ramai lelaki didapati jahil mengenai isu kesuburan mereka. Bagi ramai lelaki, asalkan boleh bersetubuh, itu petanda mereka subur. Ada juga yang berkahwin lagi dengan alasan isteri tidak boleh hamil, sedangkan diri sendiri sebenarnya mandul, bukan isteri.
Masalah kesuburan yang berpunca daripada lelaki ialah kegagalan melakukan seks penetratif dan kemampuan ejakulasi. Tanpa ejakulasi, air mani tidak dapat masuk ke dalam faraj dan sperma tidak dapat bertemu telur.
Jika ada ejakulasi, faktor yang perlu diambil kira ialah air mani mengandungi sperma, bilangan sperma mencukupi dan sperma aktif serta berbentuk normal.
Jika seseorang lelaki itu mempunyai bilangan sperma yang kurang, itu petanda masalah kepada kilang spermanya.
Yang perlu dilakukan ialah pemeriksaan buah zakar dan mengukurnya dengan alat pengukur yang dikenali sebagai orkodometer untuk menyukat isi padu buah zakar kerana jika saiz kurang daripada 10 mililiter (mm), kemungkinan kilang tidak aktif.
Selain itu, pemeriksaan teliti perlu dilakukan untuk mengenal pasti jika salur ven berpintal atau varikosel yang boleh menyebabkan kilang terdedah kepada kepanasan dan bahan toksik akibat kemendapan darah.
Rawatannya ialah dengan mengikat salur ven yang berpintal. Jika isi padu buah zakar normal, ujian susulan, termasuk ujian hormon kesuburan, perlu dilakukan.
Jika hormon kesuburan rendah atau rendah tapi dalam lingkungan normal, ubat penyubur boleh diberi dan tiga bulan kemudian ujian air mani diulangi untuk mengenal pasti keberkesanan rawatan dengan ubat penyubur.
Selain ubat penyubur, rawatan alternatif dengan herba tertentu boleh dicuba jika didapati tiada sebab kenapa sperma kurang dan kualiti sperma tidak sempurna.

Lambat Dapat Zuriat - Adakah Mandul?


Saya berusia 29 tahun dan mendirikan rumah tangga kira-kira enam bulan namun masih belum ada tanda hamil.
Saya mengalami masalah angin yang banyak dalam badan terutama pada ulu hati dan perut tetapi sukar untuk mengeluarkan angin itu. Adakah masalah angin terlalu banyak di dalam badan menyebabkan saya sukar mendapat zuriat?
Selepas bersama suami, air maninya keluar dan kadangkala ada darah berwarna coklat keluar. Apakah yang harus saya lakukan?
IRA,
Seksyen 6, Shah Alam, Selangor.
Jawapan
Belum hamil dalam usia perkahwinan seperti puan bukanlah bermakna puan mempunyai masalah kesuburan. Peluang sesuatu pasangan untuk hamil dalam mana-mana bulan hanyalah 15 hingga 20 peratus saja, bukannya 100 peratus. Ini bermakna, setiap bulan, hanya 15 hingga 20 daripada 100 pasangan saja yang berjaya hamil.
Setelah enam bulan mencuba, 75 daripada 100 pasangan didapati berjaya hamil, manakala selebihnya masih belum hamil. Namun setelah setahun mencuba, keseluruhannya meningkat kepada 85 hingga 93 pasangan yang berjaya hamil dan hanya tujuh hingga 15 pasangan saja yang masih gagal hamil.
Bagi pasangan yang belum hamil ini, peluang seterusnya untuk hamil sendirinya hanyalah sekitar empat peratus saja. Memandangkan peluang hamil masih tinggi pada setahun pertama mencuba, kebanyakan doktor lazimnya menasihatkan agar tidak tergesa-gesa mendapatkan rawatan kesuburan kerana ia sebenarnya mungkin tidak perlu untuk pasangan terbabit.
Ujian dan rawatan berkenaan bukan saja memerlukan perbelanjaan, malah masa untuk temu janji yang tidak tetap tetapi lebih bergantung kepada hari kitaran haid wanita.
Dalam keadaan tertentu misalnya sudah pun diketahui mempunyai penyakit berkaitan kesuburan seperti penyakit peradangan pelvis, endometriosis ataupun jika usia wanita mencecah 35 tahun ke atas, tidak perlu menunggu selama ini. Malah mereka digalakkan memulakan rawatan kesuburan setelah enam bulan mencuba.
Bagaimanapun, anda dan suami masih boleh terus berjumpa doktor tanpa menunggu lagi untuk memulakan penyiasatan awal. Anda mungkin hamil dengan sendirinya dalam tempoh pemeriksaan terbabit
Lazimnya, penyakit berkaitan kesuburan tidak menyebabkan masalah angin dan sakit ulu hati sebagai masalah utama. Anda boleh berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan berkaitan masalah itu walaupun ia tidak berkait dengan kesuburan.
Seeloknya, berjumpa doktor pakar sakit puan anda untuk mendapat kaunseling lanjut mengenai peluang kehamilan secara amnya. Anda juga boleh menjalani pemeriksaan kesihatan secara am dan boleh memilih untuk menjalani pemeriksaan kesuburan asas.
Pemeriksaan pintu rahim (serviks) menggunakan alat spekulum dan ujian pap smear juga mungkin turut dilakukan, terutama memandangkan anda mengalami pendarahan selepas hubungan seks, ini tiada kaitan dengan kesuburan namun penting untuk diperiksa.
Perlu difahami, faraj bukanlah anggota yang mempunyai bentuk atau alat penyokong sehingga dapat menampung semua air mani yang masuk ke dalamnya. Faraj berada dalam keadaan bertaup dan pipih pada keadaan biasa. Hanya dengan kemasukan zakar atau alat lain, faraj membuka dan memberi ruang kepada kemasukan alat terbabit, kemudian mencengkamnya.
Setelah zakar dikeluarkan (ataupun setelah zakar mengendur semula), bukaan faraj kembali kepada keadaan asalnya iaitu hendak bertaup semula dan menyebabkan apa-apa yang terperangkap di antaranya seperti air mani atau angin boleh terkeluar semula.
Wanita tidak memerlukan air mani yang banyak bertakung di dalam faraj untuk hamil. Yang lebih penting adalah bilangan dan kualiti sperma yang terkandung di dalam baki air mani yang tinggal di dalam faraj.
Selain itu, bukan air mani yang sepatutnya masuk ke dalam ruang rahim menuju ke dalam tiub falopio untuk mensenyawakan telur, tetapi hanyalah sperma yang berenang menembusi mukus serviks dan terus ke dalam tiub falopio melalui ruang rahim.

Kenapa Seseorang Itu Mandul / Tidak Subur


1.Antara sebab-sebab kemandulan, tidak subur, sukar mendapat zuriat :-

2.Faktor kedua Suami dan Isteri;

3.Suami atau isteri tidak subur

4.Kahwin lewat

5.Usia suami atau isteri melebihi 35 tahun

6.Masalah jangkitan kuman, bakteria, virus, dll

7.Masalah penyakit kronik saperti lelah, jantung, TB, Hepatitis, kanser, ketagihan dadah, darah tinggi,
kencing manis, sawan, dll

8.Nafsu seks suami dan isteri menurun

9.Faktor persekitaran, makanan, minuman, udara yang tercemar. Contoh sayuran yang terdedah kepada bahan-bahan baja yang berkimia, air yang mengandungi banyak lebihan klorin, merokok, asap kereta, dll

10.Berat badan yang berlebihan, akibat banyak lemak.

11.Airmani lelaki menurun, lemah dan tidak mencukupi, dll

Keputihan wanita – Masalah Keputihan Tanda tidak subur?


Berbicara tentang masalah mandul, seseorang wanita yang mengalami keputihan tidak dapat dikaitkan secara langsung dengan masalah kemandulan atau tidak subur tetapi…

Tetapi ada kemungkinan jikalau bakteria yang berpunca daripada keputihan ini dapat memasuki pelvis yang mana saluran felopio (fallopian tube) dijangkiti kuman dan tersumbat maka ini boleh menyebabkan mandul. Namun, ia berlaku secara tidak langsung.

Walaupun masalah keputihan tidak dapat dikaitkan secara langsung dengan punca mandul. Namun, ada kes pesakit yang mengalami masalah mengandung luar rahim. Puncanya tidak jelas tetapi ia mungkin berkaitan. Oleh itu, setiap wanita yang merasakan mereka mengalami masalah kesuburan atau keputihan, perlu membuat pemeriksaan doktor segera.

Justeru itu, setiap wanita digalakkan melakukan pemeriksaan calitan Pap Smear bagi mengambil contoh keputihan untuk kajian di makmal yang akan memperincikan jenis kuman serta bagaimana untuk diubati. Puncanya biasanya daripada ‘candidiasis’, ‘vaginosis bacterial’ atau ‘trikomoniasis’.

Dalam pada itu, ramai yang tidak mengetahui, setiap rawatan yang dilakukan oleh wanita yang sudah berkahwin untuk mengatasi masalah ini, pasangan mereka juga perlu menjalani rawatan yang sama.

Kebiasaannya, suami tidak akan berasa selesa jika faraj isteri mereka berbau busuk. Ini secara tidak langsung menganggu hubungan intim mereka dan menjejaskan perkahwinan.

Komplikasi Akibat Keputihan

Keputihan yang berpunca daripada jangkitan chlamydia atau gonorrhea yang keluar dengan banyak, boleh menjangkiti bahagian atas reproduktif wanita.

Jangkitan gonorrhea dan chlamydia agak berbahaya kerana ia boleh menyebabkan tiub fallopian dan peranakan wanita musnah. Keadaan ini juga boleh mengakibatkan seseorang wanita mandul.

Penghasilan yang terlalu banyak ini boleh merebak masuk ke dalam bahagian sistem reproduktif wanita.
Apabila masalah ini merebak hingga ke bahagian atas reproduktif wanita, biasanya wanita terbabit akan mengalami demam, sakit perut berserta keputihan yang busuk, berubah warna dan gatal.

Sehubungan itu, wanita terbabit dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan secepat mungkin, kerana ada kalanya terdapat nanah pada bahagian yang terkena jangkitan.

Pada masa yang sama, keadaan ini boleh memudaratkan wanita berkenaan.
Sekiranya wanita terbabit mengalami sakit perut serta demam, terdapat kemungkinan mereka telah mendapat jangkitan pada pelvik.

Jangkitan ini biasanya melibatkan rahim, tiub fallopian dan ovari yang dikenali sebagai pelvic inflammatory disease (PID).

Menurut Pakar, ada kalanya masalah keputihan ini sukar dirawat kerana ia berulang. Masalah ini bertambah lebih sukar sekiranya:

Suami wanita terbabit tidak dirawat
Tidak mengamalkan ubat seperti yang dijadualkan
Tabiat suka bertukar-tukar pasangan seksual

Mengatasi keputihan

Rawatan masalah keputihan ini bergantung kepada puncanya sama ada diberi antibiotik atau ubat-ubatan seperti pil yang dimakan, pessary yang dimasukkan ke dalam faraj dan ubat cuci.
Menjaga kebersihan

Memakai pakaian dalam yang diperbuat daripada kain kapas bagi membolehkan peluh diserap dengan baik
Tidak bertukar-tukar pasangan seksual.

Individu berisiko Mengalami Masalah Keputihan

Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko penyebab keputihan pada wanita seperti:

1.Penggunaan ubat antibiotik dalam jangka masa yang panjang
2.Menggunakan pakaian yang ketat terutamanya pakaian dalam yang diperbuat bukan dari kain kapas
3.Menggunakan pakaian yang lembap dan basah Pesakit diabetes
4.Pesakit leukemia atau AIDS – keadaan ini mengakibatkan sistem pertahanan badan musnah
5.Pil perancang keluarga
6.Wanita hamil
7.Wanita menopaus
8.Mereka yang mempunyai ramai pasangan seksual

Masalah Keputihan Wanita – Punca Dan Cara Rawatan


Keputihan atau lelehan lendir yang keluar dari faraj wanita ada pelbagai sifatnya dan berbeza di antara seorang wanita dengan yang lain.

Keputihan biasanya berwarna jernih atau kelabu keputihan. Lazimnya, jika keputihan tiada berubah warna kekuningan atau kehijauan bermakna tiada jangkitan.

Sama juga jika keputihan bersifat berlendir dan tidak berbeku seperti susu basi atau berubah berbau hanyir, atau terdapat radang dan kegatalan pada faraj menandakan jangkitan.

Keputihan atau lendir faraj berubah akibat perubahan hormon, perubahan mental, jangkitan, ubatan, penyakit dalaman. Wanita mempunyai kitaran haid yang dipengaruhi oleh hormon.

Keputihan akan bertambah cair ketika ovulasi dan bertambah likat ketika hampir haid.

Wanita yang dalam keadaan terangsang seksualnya juga boleh menambahkan lagi keputihan yang dialaminya.

Keadaan stres mental juga boleh mengakibatkan perubahan hormon dan mengakibatkan keputihan berlebihan.

Begitu juga dengan penyakit dalaman seperti penyakit kencing manis, tiroid juga mengakibat ketidakseimbangan hormon dan cenderung kepada penyakit.

Penyakit yang paling biasa menyebabkan perubahan lendiran faraj adalah jangkitan seksual seperti Bacterial vaginosis, Candida vaginitis, Trichomonas vaginitis, Gonorea, Chlamydia atau herpes.

Setiap satu jangkitan mempunyai sifat lendiran dan bauan tertentu. Dapatkan nasihat doktor untuk memastikan bahawa keputihan itu adalah cuma lendiran faraj biasa dan bukannya disebabkan oleh jangkitan.

Jika anda aktif dalam melakukan hubungan kelamin, maka anda perlu menjalankan ujian pap smear dan pemeriksaan pelvis.

Gunakan alas seluar dalam (panty liner) untuk mengurangkan lendiran dan radang pada kemaluan.

Ubat-ubatan untuk jangkitan adalah khusus dan ada kalanya perlu diulangi rawatannya. Suami atau pasangan seksual juga dinasihatkan untuk menjalani rawatan.

Jawapan disediakan oleh Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor, Dr. Fairuz A’shikin Abd. Kadir.

Petua Tradisional Yang Boleh Dicuba Untuk Rawat Keputihan

Cara Pertama

1. Ambil secekak pucuk pegaga dengan akarnya sekali dan bersihkan.

2. Kemudian anda rebuslah pucuk pegaga tadi bersama 2 gelas air bersih.

3. Masukkan sedikit garam kedalam air rebusan itu.

4. Setelah mendidih ,biarkan ia sehingga sejuk.

5. Apabila air rebusan telahpun sejuk,anda tapislah air rebusan itu.

6. Minum air tersebut 2 kali sehari.

7. Amalkan sehingga masalah keputihan dan rasa gatal itu sembuh.

Cara Kedua

1. Ambil 12 helai daun sireh dan bersihkanya.

2. Kemudian anda sediakan 1 liter air suam.

3. Ramas kesemua daun sireh tadi bersama-sama air suam tadi.

4. Tapislah air tersebut.

5. Gunakan air tapisan untuk mencuci bahagian alat sulit anda.

6. Selain dapat menghilangkan rasa gatal dan bau, petua ini juga dapat merapatkan kembali bahagian alat sulit wanita.

7. Lakukan sehingga anda dapat mengatasi masalah keputihan yang dialami.

Perhatian: Petua tradisional ini hanyalah alternatif untuk rawatan yang didapati dari orang-orang tua terdahulu. Bagaimanapun anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor supaya tidak ada kesan sampingan dikemudian hari.

Friday, March 23, 2012

Kencing manis .


Penyakit kencing manis ( diabetes ) telah lama diketahui manusia. Beribu-ribu penduduk di negara kita mengidap penyakit ini. Penyakit kencing manis tidak seharusnya menjadi satu penghalang kepada kehidupan yang biasa. Dengan bertambahnya pengetahuan berkenaan penyakit kencing manis dan penghasilan ubat-ubat untuk penyakit ini, tidak ada sebab mengapa anda tidak boleh hidup seperti manusia biasa.

Penyakit kencing manis adalah satu keadaan di mana terdapat kadar gula yang berlebihan dalam peredaran darah. Ini terjadi kerana badan kekurangan sesuatu hormon yang dipanggil insulin yang diperlukan untuk menukar gula kepada tenaga dalam badan kita. Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh organ bernama pancreas yang terletak dibawah perut. Badan kita mengeluarkan tenaga untuk menjalankan tugas harian daripada makanan. Dalam perut, makanan berkanji dan bergula yang dipanggil makanan karbohidrat ditukar kepada bahan gula yang dipanggil glukos dan masuk ke dalam saluran darah di mana ia akan digunakan oleh badan untuk menghasilkan tenaga. Glukos adalah punca utama yang memberi tenaga. 

Wednesday, March 21, 2012